Amalan harian Rasulullah/sunnah apa-apa yang dilakukan oleh Nabi Muhammad saw sama ada melalui perlakuan, perbuatan, percakapan dan ikrar Baginda.
Sunnah juga bermaksud, sesiapa yang melaksanakannya beroleh pahala dan tiada dosa bag yang meninggalkannya.
AMALAN HARIAN RASULULLAH SAW
1. SOLAT TAHAJJUD
Solat Tahajjud hukumnya sunnah muakkad dan merupakan kebiasaan Rasulullah SAW sepanjang hidupnya.
Allah Ta’ala berfirman:
“Dan pada sebahagian malam hari bersembahyang tahajjudlah kamu sebagai suatu ibadah tambahan bagimu. Mudah-mudahan Tuhan-mu mengangkat kamu ke tempat yang terpuji.” (Surah Al-Isra’ ayat 79)
Seafdhal-afdhal solat di luar solat lima waktu ialah solat tahajjud berdasarkan hadis Riwayat Al-Bukhari.
2. MEMBACA AL-QURAN
Sebaik-baik membaca Al-Qur’an adalah sebelum fajar.
Oleh itu, kalau boleh sebelum terbit fajar kita memulakan hari dengan membaca Al-Qur’an.
Allah akan memberikan cahaya di alam kuburnya mahupun di hari kebangkitan.
3. BERSEGERA KE MASJID UNTUK SOLAT BERJEMAAH
Solat berjemaah ini banyak pahalanya iaitu bersamaan 27 kali pahala berbanding solat bersendirian 1 kali pahala.
Sesungguhnya besar pahala yang Allah berikan kepada orang Islam yang menunaikan solatnya secara berjemaah.
Islam bukan menghalang umatnya solat sendirian, tapi Islam ingin menyeru agar umat Islam cakna dengan manfaat daripada Allah.
4. SOLAT DHUHA
Dalam waktu dhuha ini, kebanyakan orang berada dalam kesibukan duniawi, ada yang sedang bekerja, melakukan rutin harian dan sebagainya, maka dengan itulah Allah SWT menjanjikan nikmat dan pulangan yang cukup besar bagi sesiapa yang merebut masa ini untuk mendirikan solat sunat dhuha.
Allah bukan sahaja menyayangi sesiapa yang melazimi dhuha, bahkan sentiasa mencukupkan rezekinya dengan berlipat kali ganda. Maka rugilah sesiapa yang sengaja melepaskan keistimewaan ini.
5. MENJAGA WUDHU
Wuduk yang sempurna turut menjadi sebab terhapusnya dosa, sebagaimana hadis Rasulullah SAW: “Apabila seseorang hamba Muslim atau Mukmin berwuduk, maka setelah dia membasuh wajahnya, keluarlah daripada wajahnya segala dosa yang dilihat oleh kedua matanya melalui air atau bersama titisan air yang terakhir.
“Ketika membasuh kedua tangannya, keluarlah daripada kedua tangannya setiap dosa yang dilakukan oleh kedua tangannya bersama air atau bersama titisan air yang terakhir.
“Sewaktu dia membasuh kedua-dua belah kakinya, keluarlah daripada kedua-dua kakinya setiap dosa yang dilangkah oleh kedua-dua kakinya bersama air atau bersama air terakhir sehinggalah setelah dia selesai berwuduk, dia bersih daripada dosa-dosanya.” (Riwayat Muslim)
6. ISTIGHFAR
Walaupun Rasulullah SAW merupakan insan yang maksum, baginda sentiasa memohon ampun dan bertaubat kepada ALLAH SWT. Rasulullah SAW tidak pernah kurang dari 70-100 kali beristighfar dalam sehari.
Kita sebagai insan biasa, sewajarnya ucapan istighfar perlu meniti pada bibir setiap masa kerana dengan istighfar dapat menghapus dosa-dosa yang menjadi penghalang terkabulnya doa, sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun dan Maha Penyayang.
Wallahualam
Lahawlawala quwwata illa billah
Salam Sayang,
Dr Azura Hashim ❤
Jemput join ke channel telegram saya untuk info-info yang lebih menarik melalui link ini: https://t.me/drazuraofficial