Apa Itu Keyakinan Diri?
Keyakinan diri adalah apabila seseorang itu berasa yakin dan percaya terhadap diri sendiri untuk berjaya dalam apa jua yang dilakukan. Justeru itu, dengan mempunyai keyakinan diri, ia dapat membantu kita untuk menjadi seseorang yang lebih baik dalam menghadapi pelbagai keadaan.
Oleh itu, saya ingin berkongsi beberapa langkah untuk meningkatkan keyakinan diri untuk menjalani kehidupan yang hebat!
7 Keyakinan Diri yang Harus Anda Miliki untuk Menjalani Kehidupan yang Hebat
1. “Saya mengambil tanggungjawab dengan apa yang saya rasakan tanpa mengira apa jua keadaan”.
Kita adalah ‘Master of our Destiny’ .Kitalah ‘Co-Creator’ dalam kehidupan kita sendiri. Yang berhak menguasai emosi diri kita adalah diri kita sendiri. Tiada siapa yang boleh menguasai emosi serta perasaan kita andai kita tidak mengizinkan ia berlaku.
Meskipun ada yang cuba menggugah kolam emosi diri kita, jangan biarkan mereka berterusan mencuba memasuki ‘daerah’ emosi ini. Belajar untuk meletakkan sempadan diri kita sendiri dengan orang lain dengan cara yang sihat. Sayangi diri anda.
2. “Saya ada banyak perkara yang boleh saya syukuri”.
Sebenarnya, terlalu banyak dalam kehidupan ini untuk kita syukuri. Tidak jauh mana pun, ia berada disekeliling kita saja. Semakin banyak yang kita syukuri, semakin berlimpah ruah nikmat Tuhan akan datang bertimpa-timpa menuju dalam kehidupan kita. Tetapi jika banyak keluhannya, maka yang berlaku adalah disebaliknya. Azab.
Sepertimana firman Tuhan yang selalu kita dengarkan;
Surah Ibrahim :
- Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu memaklumkan, “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, nescaya Aku akan menambah (nikmat) kepadamu, tetapi jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka pasti azab-Ku sangat berat.”
3. “Apabila saya menjadi Diri Sejati, saya akan menarik vibrasi orang yang tepat masuk ke dalam kehidupan saya”.
Kebanyakan kita ramai yang cuba menjadi ‘seseorang’ yang lain yang bukan dirinya sendiri semata-mata kerana ingin dilihat hebat atau mahu diterima masuk dalam masyarakat. Berhenti lah menjadi seorang ‘people pleaser’ kerana itu akan memenatkan diri kita sendiri.
Apabila kita semakin berusaha menjadi diri sendiri, frekuensi dan vibrasi diri akan berubah seiring kita telah melakukan perubahan untuk lebih mencintai diri sendiri dengan lebih tulus dan mendalam sekaligus akan menarik orang-orang yang sefrekuensi dengan kita akan muncul.
4. “Saya berkebolehan dalam segala perkara”.
Apabila kita yakin sudah tentu kita akan percaya. Percayalah akan kebolehan diri kita sendiri. ‘Believe in yourself’ kerana kita berhak untuk mengecapi ruang kejayaan dalam segenap kehidupan ini.
Tidak mengapa andai di dunia ini ada yang meragui kebolehan mu, asalkan bukan dirimu sendiri.
Anda boleh! Kita semua boleh!
5. “Kebaikan itu akan selalu menang!”
Kebaikan selalu dibalas dengan kebaikan – itu perkara yang biasa selalu kita dengar. Namun yang paling luar biasa adalah apabila kejahatan yang dibalas dengan kebaikan.
Teringat suatu kisah benar yang pernah berlaku diluar negara. Tentang kes jenayah yang sangat berat dilakukan oleh seorang remaja lelaki membunuh seorang kawannya kerana cuba menasihatinya untuk berlaku baik.
Apa yang paling mengharukan adalah, ibu kepada arwah anak lelakinya itu sanggup memaafkan perbuatan remaja lelaki terbabit dan tidak mendakwanya. Peristiwa itu mendapat perhatian besar bagi keluarga remaja lelaki itu dan seisi pihak mahkamah dengan suasana yang sangat mengharukan sehingga menitiskan air mata.
6. “Saya ada banyak perkara untuk ditawarkan”.
Mungkin pernah suatu ketika kita pernah jatuh ditimpa tangga dengan suatu peristiwa yang tidak disangka-sangka. Begitulah kehidupan, tidak selamanya kita berada diatas.
Adakalanya perlu berlaku sesuatu peristiwa untuk memberi warna dan makna dalam kehidupan kita supaya kita dapat belajar sesuatu..Entah itu dalam soal kesihatan, kewangan, atau dalam perhubungan sesama manusia.
Keadaan kita pada waktu itu sangat perit dan parah seolah-olah tiada sesiapa yang sudi membantu kita ketika itu. Kita berasa terkapai-kapai keseorangan.
Masa pun berlalu dan rupanya-rupanya, hikmah disebalik keperitan yang kita alami itu dapat menjadi penyuluh ‘cahaya’ bagi orang lain yang sedang mencari jalannya seperti kita suatu masa dulu. Bantulah mereka dengan ‘cahaya’mu itu.
7. “Sesuatu yang baik sedang menuju dalam kehidupan saya ketika ini”.
Kata-kata yang diatas itu eloklah dijadikan ‘Self Talk’ terhadap diri sendiri. Ini penting untuk membina gagasan keyakinan dalam diri kerana kata-kata yang selalu diucapkan itu, disulami pula dengan penuh keyakinan dan penghayatan akan semakin lama semakin terpasak jauh ke dalam ‘Subconscious Mind’ kita.
Dan akhirnya membentuk identiti diri kita yang baru. Kita akan menjadi diri baru yang lebih positif dengan memasukkan ‘software’ baru yang lebih berimpak tinggi. Hasilnya, kehidupan pun turut sama berubah.
InshaaAllah…Segala perkongsian ini dapat kita hadamkan dan manfaatkan bersama-sama dengan izin Allah jua.
Jemput join ke channel telegram saya untuk info-info yang lebih menarik melalui link ini:https://t.me/drazuraofficial
Wallahu’alam
Lahawlawala quwwata illa billah.